K-masjid

Password Recovery

Fortgot your password? Don't worry we can deal with it

Masjid Al-Muttaqin, Sarikei

Waktu Solat - Putrajaya
Next
Aktiviti Seterusnya
No Aktiviti

Terletak di wilayah tengah Negeri Sarawak, bahagian Sarikei merupakan Bahagian Keenam yang telah diwartakan secara rasmi sebagai bahagian pada 2 April 1973. Bahagian ini mempunyai keluasan 4,332.35 kilometer persegi dan didiami oleh penduduk berbilang bangsa terdiri daripada iban, Melayu, Melanau, Bidayuh, Cina dan lain-lain. Pentadbiran Bahagian Sarikei yang berpusat di Bandar Sarikei, Meradong, Julau dan Pakan. Secara umumnya, Bahagian Sarikei mempunyai sebuah Masjid Gred 1 (Bahagian) iaitu Masjid al-Mustaqin, dua buah Masjid Gred 2(Daerah), dan tiga buah Masjid Gred 4( Kampung) menjadikan jumlah keseluruhan masjid adalah enam buah. Sebuah daripadanya tidak termasuk dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Masjid iaitu Masjid Ar-Rahmah, Kampung Seberang, Sarikei. Dari segi pengurusan dan pentadbiran, kebanyakan masjid diurus oleh jawatankuasa pengurusan masjid yang dilantik oleh Majlis Islam Sarawak. Hanya beberapa buah masjid sahaja yang diurus dan ditadbir secara langsung dan tidak langsung oleh Lembaga Amanah Kebajikan Islam (LAKIS) seperti Masjid al-Muttaqin selaku Masjid Bahagian Sarikei yang ditadbir oleh Lembaga Amanah Kebajikan Islam (LAKIS) , Masjid Darul Taqwa, Bintangor yang ditadbir oleh Lembaga Amanah Kebajikan Islam Melayu Bintangor dan Masjid al-Ansar, Kampung Selalang,Sarikei di bawah pentadbiran Lembaga Amanah Kebajikan Islam Selalang. Bahagian Sarikei merupakan salah sebuah bahagian yang tidak ketinggalan daripada pembangunan masjid dan surau yang mana ia sentiasa mendapat perhatian dan sokongan pemimpin serta masyarakat setempat. Dalam masa terdekat, sebuah masjid baru akan dibina di kawasan Kampung Seberang Sarikei, sebuah surau di Kampung Sri Nenas, Bukit Kinyau dan sebuah surau di Pekan Pakan. Dari kawasan Daerah Sarikei sehingga ke kawasan pedalaman Daerah Pakan, pentadbiran, pengurusan dan pengimarahan masjid/surau terus berjalan dengan misi untuk merealisasikan hasrat dakwah serta membangunkan modal insan sekaligus membentuk khaira ummah. Kedudukan Masjid Al-Muttaqin agak strategik iaitu terletak di tengah-tengah Bandar Sarikei. Ini memudahkan masyarakat Islam yang berada di sekitar Bandar Sarikei untuk mengunjungi dan bagi melaksanakan solat berjemaah serta aktiviti-aktiviti keagamaan. Masjid Al- Muttaqin sebelum ini dikenali sebagai Masjid Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub yang telah dibina di atas sebidang tanah seluas 3.4 ekar bagi menggantikan Masjid Lama Sarikei (1934-1982) yang terletak di Jalan Masjid Lama. Pembinaan masjid tersebut telah menelan belanja sebanyak RM 3 juta. Upacara perasmian meletak Batu Asas Bangunan Masjid Al-Muttaqin telah berlangsung pada 10 Oktober 1977 dan telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Haji Abdul Rahman Yaakub, Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu. Manakala pembinaan masjid tersebut hanya dapat dijalankan pada 9 Julai 1981 yang mana ianya telah mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk siap sepenuhnya. Pada 9 Zulkaedah 1403 Hijrah bersamaan 18 Ogos 1983 Masihi, Masjid Al-Muttaqin telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Haji Abdul Taib bin Mahmud. Bentuk bangunan Masjid Al-Muttaqin telah direka dengan indah dan mempunyai karya seni Islam yang tinggi bagi melambangkan semangat perpaduan serta tolerasi di kalangan umat Islam dirantau ini amnya dan masyarakat Islam di Bahagian Sarikei khasnya. Masjid ini dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan solat yang luas dan selesa yang boleh menampung kira-kira 2500 orang jemaah, tandas dan tempat wuduk bagi lelaki dan perempuan, bilik imam dan tempat letak kenderaan yang agak luas. Masjid Al-Muttaqin juga tidak ketinggalan dalam mempertingkatkan martabat ummah dengan menjalankan aktiviti-aktiviti pengimarahan seperti meraikan hari-hari kebesaran Islam, ceramah, forum, kuliah, aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya.

 
>