Waktu Solat - Putrajaya
e-muallaf rekod maklumat saudara baharu
Tarikh Terbit : 02 Disember 2013
 
Razali Shahabudin (kiri) menyampaikan Anugerah Saudara Muslim Cemerlang Kebangsaan 2013 kepada Adam Khong Abdullah di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 1 Dis. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melaksanakan Sistem e-muallaf iaitu sebuah sistem yang akan mengemas kini serta merekodkan maklumat dan data saudara Islam di seluruh negara berkuat kuasa Januari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jakim, Datuk Razali Shahabudin berkata, sistem berkenaan yang kini sudah di peringkat akhir draf adalah bertujuan menyelaraskan maklumat berkaitan dengan saudara baharu.

Sebelum ini, ujarnya, data serta maklumat saudara baharu memeluk agama Islam diuruskan oleh majlis agama Islam negeri menggunakan kaedah masing-masing.

"Sudah sampai masanya kita buat satu penyelarasan di peringkat pusat bagi memudahkan kita menyelaras semua maklumat berkaitan dengan saudara baharu di seluruh negara.

"Dengan Sistem e-muallaf, kita hanya memasukkan nama dan nombor kad pengenalan seseorang yang memeluk Islam itu dan kita akan dapat tahu di mana mereka memeluk Islam, di mana mereka menetap sekarang dan pelbagai lagi kemudahan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvensyen Saudara Muslim Peringkat Kebangsaan 2013 dan melancarkan Sistem e-muallaf di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan di sini hari ini.

Pada majlis konvensyen itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Saudara Muslim Cemerlang bagi kategori lelaki dan wanita kepada Pembantu Farmasi Hospital Melaka, Adam Khong Abdullah dan Guru Agama Dakwah, Ipoh, Perak, Norshamila Koid Abdullah.

Konvensyen anjuran Jakim dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bermula semalam dan berakhir hari ini disertai lebih 500 saudara baharu dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Razali berkata, konvensyen itu juga adalah kesinambungan konvensyen sebelum ini yang diadakan sejak 2008 dan berjaya menghimpunkan lebih 1,500 peserta.

"Objektif konvensyen kali ini adalah sebagai medan untuk saudara baharu mencari formula penyelesaian kepada isu dan masalah yang membelenggu mereka khususnya berkaitan hal ehwal kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial," katanya.




 
 


Lagi Berita

Sebelum | Berikut »
Rekod 1 - 5 dari 640



Pengiklanan

Dapatkan tawaran istimewa khas diskaun untuk ahli K-Masjid

All