Waktu Solat - Putrajaya
Sasar tingkatkan pelancong Islam
Tarikh Terbit : 04 Januari 2014
 
Sebahagian daripada pelancong asing dan warga tempatan menyaksikan menerusi skrin besar Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. - Utusan/ABDUL NAZIR MOHAMED

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan meletakkan sasaran untuk meningkatkan kedatangan pelancong Islam ke negara ini, terutama bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Ong Hong Peng berkata, pada tahun lalu, negara mencatatkan kehadiran lima juta pelancong atau 23 peratus beragama Islam daripada keseluruhan 25 juta pelancong asing.

Sehubungan itu, jelasnya, dengan penganjuran TMM 2014 dan pelbagai tarikan serta produk pelancongan berteraskan Islam, jumlah tersebut mampu ditingkatkan sehingga menjangkau 30 peratus.

"Malaysia sememangnya memiliki banyak produk pelancongan Islam seperti bazar Ramadan, keunikan seni bina masjid, tilawah al-Quran dan Rumah Terbuka Aidilfitri yang sekiranya dipromosi sepenuhnya pasti mampu menarik lebih ramai pelancong.

"Malah, pengiktirafan Malaysia sebagai destinasi percutian paling mesra di dunia bagi penganut Islam oleh perunding percutian Crescentrating dilihat mampu membantu negara untuk mencapai sasaran 30 peratus itu dalam beberapa tahun mendatang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pusat Pelancongan Islam (ITC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin dan Ketua Pengarah ITC, Zulkifly Md. Said.

Mengulas mengenai MoU antara UIAM dan ITC, Hong Peng melihatnya sebagai satu kerjasama strategik bagi meningkatkan potensi pelancongan Islam di negara ini.

"Menerusinya, UIAM dan ITC akan bekerjasama dalam penyelidikan, pertukaran pengetahuan dan kepakaran terutamanya dalam bidang pelancongan dan kebudayaan.

"Kerjasama sebegini merupakan usaha yang amat dialu-alukan bagi merebut peluang menjana pendapatan negara dalam pelancongan berteraskan Islam kerana nilai pasaran global industri berkenaan bernilai kira-kira AS$130 bilion," katanya.




 
 


Lagi Berita

Sebelum | Berikut »
Rekod 1 - 5 dari 640



Pengiklanan

Dapatkan tawaran istimewa khas diskaun untuk ahli K-Masjid

All