Waktu Solat - Putrajaya
Menyelesaikan kemelut ummah
Tarikh terbit : 24 Mei 2013
 


WALAUPUN Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 telah berlalu, sembang-sembang politik masih rancak diperkatakan di persada media negara. Malah di kedai-kedai kopi juga isu-isu politik ini belum reda diperkatakan. Perbahasan-perbahasan yang berlaku, saya perhatikan tidak hanya berkisar terhadap parti lawan sahaja. Ia juga telah merebak ke 'intra parti'.


Ahli-ahli sesebuah parti berantakan sesama sendiri mungkin bagi mendapatkan populariti di kalangan ahli akar umbi. Budaya sebegini sudah semakin menular di kalangan pemimpin parti siasah tanpa mengira daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang. Begitu juga di dalam blok-blok (fahaman politik) juga terdapat ketidaksetujuan antara ahli-ahli parti di dalam blok masing-masing di dalam pembahagian jawatan, kenyataan dan modus operandi.


Malah ramai juga yang memperkatakan tentang perpaduan umat Melayu/ Islam, mengajak membuat anjakan paradigma demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Merintih agar parti-parti yang bertikaian mengadakan persefahaman antara satu sama lain berasaskan kepada agama.


Tampak usaha ini perlu diperlahankan sementara kerana masalah 'intra parti' di kalangan semua parti politik masih belum dapat diminimumkan. Sudah semestinya seseorang itu melihat sesuatu dari luar kotak bagi mencari jawapan yang sesuai menyelesaikan kemelut ummah, tidak hanya tertumpu kepada kepentingan diri ataupun keegoan dan ketaksuban seseorang.


Persoalan yang perlu diselesaikan secara tuntas ialah ke mana hala tuju negara dengan keadaan berkecamuk seperti sekarang ini. Adakah situasi sekarang lebih baik untuk agama, bangsa dan negara? Persoalan sebegini harus diteliti dengan begitu mendalam bagi mengelak kemelut ini berpanjangan.


Mungkin sudah sampai masanya ahli-ahli politik daripada semua kalangan mengkaji adab-adab berbeza pandangan atau adab al ikhtilaf sebagaimana yang telah ditulis oleh ulama-ulama terdahulu.


Ulama-ulama dahulu berselisih pandangan dalam banyak hal cabangan (furu'), tetapi mereka masih boleh menerima pandangan ulama lain walaupun ia bertentangan dengan pendapat mereka sendiri.


Mereka berlapang dada dan menerima perbezaan ijtihad sebagai rahmat kepada umat manusia. Inilah ciri yang perlu ada pada kita bagi membawa negara ke era yang lebih maju berlandaskan lunas-lunas agama.


Sebagai orang yang mahir di dalam bidang siasah, sudah pasti Perlembagaan Persekutuan dijunjung sebagai undang-undang tertinggi negara. Walaupun undang-undang Islam tidak dinyatakan secara langsung sebagi undang-undang tertinggi di dalam Perlembagaan Persekutuan namun sebenarnya memang ada ruang dan peluang Islam dimartabatkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.


Sebagaimana yang sering diperkatakan, terdapat tujuh ciri asas yang menjadi tulang belakang perlembagaan itu sendiri di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kesemua ciri-ciri ini hendaklah dipertahankan oleh semua rakyat termasuklah Islam sebagai Agama bagi Persekutuan.


Ciri ini memberi keistimewaan kepada Islam dalam hal ehwal berkaitan hak kebebasan menganut, mengamal dan menyebarkan agama Islam, menggunakan dana awam bagi tujuan Islam, kedudukan terpelihara mahkamah syariah, pengecualian penolakan undang-undang Islam ketika darurat serta penetapan hal ehwal Islam terletak dalam bidangkuasa negeri, hak mengislamkan anak di bawah umur dan banyak lagi.


l PENULIS ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my



 
 


Lagi Pengumuman

Sebelum | Berikut »
Rekod 1 - 5 dari 32



Pengiklanan

Dapatkan tawaran istimewa khas diskaun untuk ahli K-Masjid

All