Soal Jawab


Aqiqah disebut dalam hadith :-

مع الغلام عقيقة فأريقوا عنه دماً وأميطوا عنه الأذى

Ertinya : ” Bersama bayi yang lahir itu aqiqah, maka kerna itu mengalirkanlah darah (sembelihan) untuknya, dan jauhkan baginya segala kesakitan (godaan syaitan) (Riwayat Al-Bukhari)

كلُّ غُلامٍ رَهينٌ بعَقيقته، تُذبَحُ عنه يومَ سابعِه ويُسمَّى فيه ويُحلق رأسُه”.

Ertinya : “Setiap anak perlu dipajakkan (terhutang) dengan aqiqah, disembelih untuknya pada hari ketujuh umurnya, dan diberi nama dan dicukur rambut kepalanya” (Riwayat Ashabus Sunan)

Aqiqah itu pula dari sudut bahasanya adalah ‘tolakan’, iaitu tolakan dari gangguan dan godaan Syaitan.

Berkenaan beri kepada non muslim, saya dapati tiada dalil mahupun pendapat ulama yang meletakkan syarat bahawa si penerima adalah orang Islam sahaja. Justeru…wallahu a’lam.. saya kira ianya adalah harus.

Cuma sudah tentu yang lebih baik adalah penerima dari kalangan orang Islam kerana diharapkan adalah sipenerima memahami lalu mendoakan si kanak-kanak tadi apabila menerima hidangan hasil aqiqah itu. Jika beri pada bukan Islam, manalah mereka faham aqiqah tu apa ..:)

Falsafah ‘aqiqah adalah sebagai tanda kesyukuran bagi anugerah cahaya mata yang dikurniakan oleh Allah SWT. Justeru ia lebih baik di kongsi sesama Islam. Ini kerana ia juga seumpama satu peringatan kpd yg lain untuk beraqiqah juga untuk anak mereka (jika belum). Non-Muslim tiada peruntukan aqiqah..

Sebagai tambahan info ; Kebanyakkan ulama menggalakkan daging dari hasil sembelihan itu dimasak terlebih dahulu sebelum di edarkan kepada faqir miskin, jiran tetangga walaupun mereka kaya.

Bagaimanapun, menurut satu pandangan :-

“Daging aqiqah dan korban haram diberi kepada bukan Islam kerana korban dan aqiqah merupakan amal ibadah kepada Allah. Ia bertujuan untuk bertaqarrub kepada Allah. Ini ada disebut dalam Fatwa Syeikh Ahmad al Fatthani.

Tapi kalau bukan Islam nak beli satu bahagian daripada daging lembu itu untuk kegunaan peribadi, bukannya utk korban, maka harus hukumnya menurut Syeikh Daud al fatthani dalam Furu’ul masaa’il. ”

Komen saya :

Ada benarnya, ini salah satu ijtihad yang sangat boleh dipegang. Bagaimanapun, ia tidak qat’ie dan ia masih dalam kategori perkara furu’/cabang.

Jika hujjah utama oleh beberapa ulama terulung tempatan di atas adalah “ia hal taqarrub”..maka anda boleh berhujjah bahawa hal taqarrub itu adalah terhenti di ketika niatnya, sembelihan dan hidangan dibuat..adapun hal ehwal mengedarkannya tidak lagi termasuk dalam hal yang menjadi syarat kepada taqarrub itu. Ia lebih kepada hal kemasyaratan sahaja.

Seperti solat.. ia adalah hal taqarrub kpd Allah..maka ada rukun dan syaratnya untuk memenuhi taqarrub yang disasarakan demikian juga solat di tempat yang suci adalah syarat sah utk taqarrub solat ini, tapi samada sejadah itu dibeli dari kedai non muslim atau tidak.. maka ia tidak memberi kesan kpd ibadah solat…ia cuma kurang digalakkan sahaja.

Dan mengedarkannya daging aqiqah kpd muslim sahaja, bukanlah menjadi syarat sah aqiqah dalam semua mazhab (kecuali jika saya tersilap, iaitu ada mazhab yg menajdikannya syarat sah aqiqah).

Malah jika seseorang bersedeqah kepada seorang bukan Islam di ditemuinya di keadaan yang amat memerlukan. Adakah tiada pahala baginya? Ini tidak benar sama sekali, derma dan kebaikan yang dilakukan oleh Umat Islam adalah bersifat ‘taqarrub’ kepada Allah, dan ia pasti diterima walaupun penerima bantuan itu seorang kafir. Cuma, jika ada dua peminta antara Muslim dan kafir, sudah tentu lebih besar pahalanya diberikan kepada si Muslim. Bagaimanapun, ia tidak menjadikan hukum HARAM untuk diberi kepada si bukan Islam.

Justeru ia kekal isu yang sangat furu’ dan bebas memilih dalam kedua-dua fatwa ulama. wallahu ”lam.

sekian

Ustaz Zaharuddin

 

Sumber: http://www.zaharuddin.net/

 



Al-Fadhil ustaz,Saya seorang gadis berusia awal 20-an dan belum berkahwin. Sebelum ini saya tidak tahu untuk membezakan antara mazi dan mani. Tetapi, alhamdulillah baru-baru ini setelah saya terbaca ruangan ini, saya tidak ragu-ragu lagi untuk membezakan antara kedua “cecair” tersebut. Bagaimanapun, saya ingin meminta pendapat.. Oleh kerana awal Ramadhan tempoh hari saya masih “jahil” mengenai mazi dan mani, apabila saya terangsang, saya menganggap cecair yang keluar ialah MANI. Tetapi, jauh disudut hati saya mengatakan ianya bukanlah mani, jadi saya tetap teruskan berpuasa. Setelah berbuka puasa, saya mandi wajib untuk keluar dari belenggu ragu-ragu. Perkara ini berlanjutan sehinggalah beberapa hari. Siangnya saya berpuasa, apabila keluar “sesuatu” saya menganggapnnya mani dan mengambil keputusan untuk mandi wajib setiap kali selepas berbuka. Perkara ini membuatkan saya betul-betul tertekan apatah lagi bila memikirkan jumlah puasa yang perlu saya GANTI @ QADA’ yang semakin meningkat HANYA kerana perasaan ragu-ragu tersebut. Jadi, saya terdetik untuk “mencari jawapan” kepada masalah saya ini sehinggalah saya terbaca PERBEZAAN ANTARA MAZI & MANI yang terdapat dalam ruangan ini. Sekarang saya yakin sedikit untuk membezakan antara keduanya. Hasil pembacaan dan pemahaman saya, saya dapati cecair yang keluar pada awal Ramadhan dahulu bukanlah mani, tetapi hanya mazi. Soalan saya, apakah saya perlu mengQada’ puasa-puasa yang saya ragui tempoh hari ? Bagaimana pula jika sekarang saya sudah PASTI yang keluar ketika itu memang bukan mani?? Saya harapkan jawapan.. Tolonglah.. Terima kasih !!!

Wa’alaikumussalam,

 

1) Puasa anda adalah sah dan tidak perlu di qadha ( ganti) kerana ia tidak batal hanya kerana keluar air mazi akibat terangsang.

 

2) Walaubagaimanapun, pahala puasa sdri sudah tentu tergugat dan berkurangan jika  air mazi itu keluar akibat rangsangan syahwat. Jika seseorang terangsang sehingga keluar mazi, ini bermakna dia sedang melakukan satu dosa (kecualilah jika di antara suami dan isteri), kerana menurut kebiasaannya sesorang tidak boleh terangsang tanpa sebab, sudah tentu rangsangan itu datang sama ada kerana melihat gambar lucah atau bersembang dengan lelaki melalui telefon, berdepan atau ‘chatting’ secara bersyahwat…

 

 

Untuk makluman, AIR MAZI adalah sejenis cecair jernih sedikit melekit dan kurang berbau yang keluar dari kemaluan lelaki dan wanita setiap kali ada rangsangan syahwat. Ia berbeza dengan AIR MANI pula cecair melekit dan berbau kuat seperti klorok, yang keluar hanya di kemuncak syahwat semasa persetubuhan atau ia juga boleh keluar di kemuncak syahwat apabila seseorang melakukan kesalahan mastubarsi (onani).

Air MANI adalah sejenis cecair pekat, yang biasanya keluar dengan rasa kenikmatan. Berbeza dengan AIR MAZI yang keluar tanpa sedar, hasil peningkatan syahwat. Air mazi adalah najis dan perlu dibasuh untuk menunaikan AIR MANI, pula berbeza kerana jika keluar, seseorang itu perlu mandi hadas ( MANDI WAJIB)  untuk kembali menyucikan diri bagi melaksanakan ibadah khusus seperti solat dan membaca al-Quran.

Kembali kepada kes yang bertanya, jika benar ia adalah air mazi yang keluar disebabkan syahwat dari aktiviti tidak elok, tidak syak lagi ia adalah satu dosa dan apabila ia berlaku dalam bulan mulia ini, sudah tentulah kesannya amat besar. Allah s.w.t menyebut dalam hadis Qudsi :-

يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ من أَجْلِي الصِّيَامُ لي وأنا أَجْزِي

Ertinya : “Dia meninggalkan makanan, minuman dan syahwatnya hanya kerana Ku ( Allah ), sesungguhnya puasanya adalah untuk Ku dan Aku lah yang akan membalasnya” ( Riwayat Al-Bukhari, no 1795, 2/670 )

 

Amat jelas lagi terang Allah s.w.t inginkan dari puasa kita penahanan dari 3 aspek fizikal iaitu tahan  makan minum dan keinginan syahwat iaitu seksual.

 

Dalam hal di atas, jika rangsangan benar kerana syahwat, ia menunjukkan sdri telah melakukan suatu dosa sehingga tidak dapat menjaga syahwat dengan baik sehingga keluarnya mazi semasa berpuasa. Kaffarah yang berat bagi mereka yang bersetubuh di siang hari Ramadhan sudah cukup membuktikan kemurkaan Allah s.w.t bagi mereka yang melanggar displin syahwat tatkala berpuasa.

Jika syahwat antara suami isteri pun perlu dikawal, apatah lagi dengan lelaki atau wanita luar yang bukan mahram.

Jika benar, ia adalah mazi yang ekluar dengan syahwat, saya nasihatkan saudari agar segera berhenti dan menjauhkan diri dari semua perbincangan dan perbuatan yang boleh menaikkan syahwat kerana ia kelak boleh menjatuhkan seseorang dalam kumpulan hina iaitu penzina yang tidak bertawbat.

Semoga diampuni Allah s.w.t di bulan pengampunan ini.

BEZA MAZI DENGAN KEPUTIHAN

Jika cecair yang keluar itu tidak keluar disebabkan syahwat, maka ia mungkin pula adalah cecair keputihan yang kerap berlaku kepada beberapa kumpulan wanita. Cecair jenis ini adalah najis dan perlu dibasuh sebelum solat, namun ia tidak membatalkan puasa. Tiada dosa juga atas keluarnya cecair tersebut.Tetapi cecair jenis ini TIDAK keluar kerana syahwat terangsang. Ia keluar pada waktu-waktu biasa.

Cecair ‘keputihan’ ini biasanya keluar dengan sedikit kekuningan atau mempunyai bau yang busuk, berbeza dengan air mazi yang tidak berbau. Justeru, saudari perlu tentukan cecair apakah yang dimaksudkan. Jalan mudah adalah dengan bertanya kepada ibu saudari. Harapnya sang ibu mempunyai kejelasan fikiran tentang perbezaaannya.

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/



Terdapat ulamak memakruhkan kita memotong kuku, mencukur/menggunting bulu dan rambut, membuang darah (berbekam) dan seumpamanya semasa sedang berjunub dan semasa haid dan nifas. Mereka ialah Imam al-Ghazali dan Abu al-Faraj as-Syirazi (seorang ulamak dari mazhab Hanbali). Berkata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin; “Tidak sepatutnya seseorang mencukur rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluannya serta membuang sesuatu dari badannya pada ketika ia sedang berjunub kerana seluruh juzuk pada badannya akan dikembalikan kepadanya di akhirat kelak, lalu ia akan kembali berjunub.[1] Dikatakan bahawa; setiap bulu (yang dicukurnya ketika berjunub itu) akan menuntut dari tuannya dengan sebab junub yang ada padanya (kerana dicukur ketika sedang berjunub)” (Dinaqalkan dari kitab al-Iqna’, jil. 1, hlm. 91).

Mereka berdalilkan hadis yang dikatakan dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi;

لا يقلمن أحد ظفراً ، ولا يقص شعراً ، إلا وَهوَ طاهر
“Janganlah sesiapa memotong kukunya dan menggunting rambut kecuali ketika ia suci” (Riwayat al-Ismaili dari Saidina ‘Ali r.a.)

Namun jumhur ulamak tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Menurut mereka; tidak ada dalil dari Nabi s.a.w. yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas dari melakukan perkara-perkara yang disebut tadi. Adapun hadis di atas, ia adalah munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah (lihat; Syarah Soheh al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab).. Berkata Imam ‘Atha’ (seorang Tabi’in terkenal); “Harus orang yang berjunub untuk berbekam, memotong kuku dan mencukur rambut sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu”[2] (Riwayat Imam al-Bukhari). Imam Ahmad tatkala ditanya berkenaan hukum orang berjunub yang berbekam (yakni mengeluarkan darah dari kulitnya), mencukur rambut, memotong kuku dan mewarnai rambut atau janggutnya, ia menjawab; “Tidak mengapa (yakni harus)”.

Syeikh Atiyah Saqar dalam fatwanya juga menegaskan; pendapat Imam al-Ghazali itu tidak ada sebarang dalil untuk menyokongnya. Syeikh ‘Atiyah kemudiannya menaqalkan ulasan Imam Ibnu Taimiyyah yang berkata; aku tidak mengetahui ada sebarang dalil yang memakruhkan membuang rambut dan kuku oleh orang berjunub. Malah Nabi s.a.w. ada bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;

ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن
“Buangkanlah darimu rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir), kemudian berkatanlah” (HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib r.a. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).

Di dalam hadis di atas Nabi s.a.w. hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan membuang rambut/bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya ia melakukannya selepas mandi, menunjukkan bahawa membuang rambut/bulu dan berkhitan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa; Min Ahsanil-Kalam, Syeikh Atiyah Saqar, 1/438.
2. al-Iqna’, Imam as-Syabini, 1/91.
3. Fathul-Bari (Syarah Soheh al-Bukhari), Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, bab al-Junub Yakhruju Wa Yamsyi Fi as-Suq Wa Ghairihi.

Nota Kaki;

[1] Kembali berjunub kerana bulu, kuku dan rambut yang dibuangnya sebelum mandi itu masih berhadas.
[2] Terdapat hadis di mana seorang yang berjunub jika hendak tidur (sebelum mandi wajib), hendak menikmati makanan dan minuman atau hendak kembali bersetubuh dengan isterinya, ia disunatkan mengambil wudhuk terlebih dahulu. Jadi adalah makruh ia melakukan perkara-perkara tersebut tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu. Namun bagi perbuatan mencukur rambut/bulu, memtong kuku dan sebagainya tadi, tidak ada sebarang hadis menyarankan supaya mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum melakukannya. Kerana itu Imam Atha’ menyatakan; harus melakukannya sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dulu.

 

Sumber: http://www.halaqah.net/



Sesuatu yang hendak dikaitkan dengan agama ini mestilah mempunyai dalil yang membuktikannya. Dalam masalah jamuan sempena kematian, sahabat Nabi bernama Jarir bin ‘Abdillah al-Bajali menyebut:

كُنَّا نَرَى الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنْعَةَ الطَّعَامِ مِنْ النِّيَاحَةِ

Kami menganggap berhimpun kepada keluarga si mati dan menyediakan makanan termasuk dalam (hukum) al-Niyahah (meratapi mayat) (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah; sanadnya sahih)

Berdasarkan kepada hadith, maka kenduri arwah bukan dari ajaran Islam, ia menyerupai perbuatan meratapi mayat yang dilarang oleh syarak. Maka, amalan itu adalah warisan jahiliyyah yang para sahabah elakkannya.

Malang sekali sesetengah pihak menganggap ini merupakan pendapat mazhab al-Syafi’i. Jawapan kita dalam masalah ini;

Pertama: pendapat siapa pun, mazhab apa pun jika berbeda dengan nas Allah dan rasulNya, maka apa yang ditegaskan oleh Allah dan rasul itu yang diperintahkan untuk kita pegang.

Kedua: karangan para ulama mazhab al-Syafi’i juga menunjukkan mereka tidak pernah menyukai perbuatan ini. Tokoh besar mazhab al-Syafi’i, al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) umpamanya dalam Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya: “adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi s.a.w sedikit pun. Ia adalah bid’ah yang tidak disukai” (Al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Mahazzab, 5/320, Beirut: Dar al-Fikr.)

Demikian tokoh-tokoh semasa mazhab al-Imam al-Syafi’i, antaranya al-Syeikh Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji menulis dalam kitab mereka: “Daripada bid’ah apa yang dibuat oleh keluarga si mati adalah mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan munasabah yang dinamakan berlalunya empat puluh hari dan seumpamanya. Sekiranya perbelanjaan makanan tersebut dari harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram. Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim tersebut. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya”.

Tambah mereka lagi: “Menyusahkan keluarga si mati dengan membuat makanan dan menghimpunkan orang ramai kepada makanan –seperti yang menjadi kebiasaan di zaman kini- adalah bid’ah yang bertentangan dengan sunnah dengan percanggahan yang amat sangat”. (Mustafa Khin, al-Syeikh Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji, Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 1/263, Damsyik: Dar al-Qalam).

Bahkan kitab-kitab jawi Nusantara juga bertegas dalam masalah ini. Antara apa yang disebut oleh Syeikh Daud al-Fatani dalam Bughyah al-Talab: “(dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan menserukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bid’ah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya” (Daud al-Fatani, Bughyah al-Talab 2/34). Demikian juga kenyataan yang sama dibuat oleh al-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam Sabil al-Muhtadin (m.s 87), al-Syeikh Idris al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi (7/130).

Kata Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah: Para imam (ilmuan besar) bersepakat tentang kemakruhan keluarga si mati menyediakan makanan untuk orang ramai lalu mereka berhimpun untuk jamuan tersebut. Demikian itu menambahkan kesusahan dan kesibukan keluarga si mati, juga menyerupai amalan masyarakat jahiliyyah. Ini berdasarkan hadis Jarir: “Kami menganggap berhimpun kepada keluarga si mati dan menyediakan makanan selepas pengebumian mayat termasuk dalam (hukum) al-Niyahah (meratapi mayat)”. Sebahagian ulama berpendapat perbuatan ini adalah haram”. (Fiqh al-Sunnah 1/508)

Maka perbuatan mengadakan kenduri sempena kematian adalah bid’ah, menyanggahi sunnah Nabi s.a.w.

ALLAH LEBIH MENGETAHUI
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Sumber: Dr. Maza



Sebaik-baik perkataan adalah Kalamullah (Al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam (As-Sunnah Ash-Shahiihah), dan sebaik-baik pemahaman atas dua hal tersebut adalah pemahaman para shahabat Rasulullah radliyallaahu ‘anhum ajm’ain (atsar as-salafush-shalih). Dan untuk menjawab pertanyaan Saudara, maka kami akan mengembalikannya kepada 3 (tiga) hal tersebut.

Allah ta’ala telah berfirman :

يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

“Allah menghendaki kemudahan bagi kalian semua, dan tidak menghendaki kesulitan bagi kalian semua…..” (QS. Al-Baqarah : 185).

Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam telah bersabda :

إن الدين يسر ولن يشاد الدين أحد إلا غلبه فسددوا وقاربوا……..

“Sesungguhnya agama itu mudah. Orang yang bersikap berlebih-lebihan dalam beragama pasti akan kalah. Beramallah yang benar ! Beramallah yang paling dekat dengan pengamalan syari’at…” (HR. Bukhari nombor 39 – penomboran dari maktabah sahab : 39 dan 6098; dan Muslim nombor 2816).

Ayat dan hadits di atas memberikan kefahaman bagi kita semua bahawa agama Islam ini adalah agama yang mudah. Mudah untuk difahami dan mudah untuk diamalkan. Seorang muslim hanya dibebani untuk mengerjakan apa-apa yang dicontohkan dan meninggalkan apa-apa yang dilarang atau tidak ada contohnya (dari Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam). Itulah salah satu sisi kemudahan yang sangat besar bagi umat Islam. Mereka sekali-kali tidak dibebani untuk membuat-buat syari’at yang akhirnya justeru memberatkan mereka.

Kembali kepada inti pertanyaan saudara, maka ada beberapa riwayat shahih mengenai hal ini.

Dari Jarir bin ‘Abdillah Al-Bajaly radliyallaahu ‘anhu, dia berkata :

كنا نرى الاجتماع إلى أهل الميت وصنعة الطعام من النياحة

“Kami (para shahabat) menganggap berkumpul-kumpul di rumah keluarga mayat, serta penghidangan makanan oleh mereka (kepada para tetamu) merupakan sebahagian daripada niyahah (meratapi mayat)” (HR. Ahmad nombor 6905 dan Ibnu Majah nombor 1612).

Dari Thalhah radliyallaahu ‘anhu, dia berkata :

قدم جرير على عمر فقال : هل يناح قبلكم على الميت. قال : لا. قال : فهل تجتمع النسآء عنكم على الميت ويطعم. قال : نعم. فقال : تلك النياحة.

“Jarir mendatangi ‘Umar, kemudian ‘Umar berkata : “Apakah kamu sekalian suka meratapi mayat ?”. Jarir menjawab : “Tidak”. ‘Umar berkata : “Apakah diantara wanita-wanita kalian semua suka berkumpul di rumah keluarga mayat dan memakan hidangannya ?”. Jarir menjawab : “Ya”. ‘Umar berkata : “Hal itu sama dengan niyahah (meratapi mayat)”. (HR. Ibnu Abi Syaibah 2/487).

Dari Sa’id bin Jubair radliyallaahu ‘anhu, dia berkata :

من عمل الجاهلية : النياحة والطعام على الميت وبيتوتة المرأة ثم أهل الميت لبست منهم

“Merupakan perkara Jahiliyyah : An-Niyahah, hidangan keluarga mayat, dan menginapnya para wanita di rumah keluarga mayat” (HR. Abdurrazzaq 3/550 dan Ibnu Abi Syaibah dengan lafadh yang berbeza). Ketiga riwayat tersebut saling menguatkan.

Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda :

اثنتان في الناس هما بهم كفر الطعن في النسب والنياحة على الميت

“Dua perkara yang dapat membuat manusia kufur : Mencela keturunan dan meratapi mayat (an-niyahah)”. (HR. Muslim nombor 67)

Para ulama mu’tabar telah sepakat membenci perbuatan ini (yaitu berkumpul-kumpul di tempat mayat dan makan makanan di dalamnya). Kami akan menyebutkan beberapa di antara banyak perkataan ulama mengenai hal ini.

1. Imam An-Nawawi Asy-Syafi’i berkata :

وإما إصلاح أهل الميت طعاما ويجمع الناس عليه فلم ينقل فيه شيء غير مستحبة وهو بدعة.

“Adapun penghidangan makanan oleh keluarga mayat berikut berkumpulnya masyarakat dalam acara tersebut tidak ada dalil naqlinya, dan hal tersebut merupakan perbuatan yang tidak disukai. (Jelasnya) perbuatan tersebut termasuk bid’ah” (Al-Majmu’ Syarhul-Muhadzdzab 5/186 Daarul-Fikr, Beirut, 1417).

2. Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Asy-Syafi’i berkata :

وما اعتيد من جعل أهل الميت طعاما ليدعوا الناس إليه بدعة منكرة مكروهة لما صح عن جرير بن عبد الله

“Dan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan dari penghidangan makanan oleh keluarga mayat dengan tujuan untuk mengundang masyarakat, hukumnya bid’ah munkarah (terlarang) lagi dibenci, berdasarkan keterangan shahih dari Jarir bin ‘Abdillah” (Tuhfatul-Muhtaj 1/577, Daarul-Fikr, tanpa tahun).

3. Imam Ibnu ‘Abidin Al-Hanafy berkata :

ويكره اتخاذ الضيافة من الطعام و من أهل الميت لأنه شرع في السرور لا في الشرور وهي بدعة مستقبحة.

“Dimakruhkan hukumnya menghidangkan makanan oleh keluarga mayet, kerana hidangan hanya pantas disajikan dalam waktu bahagia, bukan dalam waktu-waktu musibah. Dan hal itu merupakan bid’ah yang buruk bila dilaksanakan” (Hasyiyah Ibnu ‘Abidin 2/240, Daarul-Fikr, 1386).

4. Imam Ad-Dasuqi Al-Maliki berkata :

وأما جمع الناس على طعام ببيت الميت فبدعة مكروهة

“Adapun berkumpul di dalam keluarga mayat yang menghidangkan makanan, hukumnya bid’ah makruhah (dibenci)” (Hasyiyah Ad-Dasuqi ‘alasy-Syarhil-Kabiir 1/419, Darul-Fikr, Beirut, Tanpa Tahun).

5. Syaikh An-Nawawi Al-Bantani (tokoh Indonesia yang hidup dan meninggal di Makkah dimana kitab-kitabnya banyak ditelaah di NU di Indonesia) berkata :

أما الطعام الذي ويتجمع عليه الناس ليلة دفن الميت – المسمى بالوحشة – فهو مكروه ما لم يكن من مال الأيتام وإلا فيحرم.

“Adapun menghidangkan makanan yang ditujukan bagi orang-orang yang berkumpul di malam penguburan mayit – yang biasa disebut al-wahsyah – adalah dibenci, bahkan diharamkan (dengan sangat) apabila biayanya diambil daripada harta-harta anak yatim” (Nihayatuz-Zain fii Irsyadil-Mubtadi’in halaman 281, Daarul-Fikr, Beirut, Tanpa Tahun).

Dari hadits, atsar, dan penjelasan ulama di atas telah jelas bagi kita bahwa berkumpul dan makan makanan di tempat ahli mayit bukanlah perkara yang disunnah. Bahkan itu bid’ah yang sangat dibenci. Semua ulama mu’tabar yang dalam keilmuannya telah menyepakati hal ini, kecuali sedikit di antara orang-orang awam yang pendapat mereka diabaikan. Bahkan yang menjadi sunnah (sebagaimana yang dijelaskan oleh ikatan ulama NU Tasikmalaya di atas) adalah kita – para tetangga ahli mayat – yang membuatkan makanan serta mengirimkannya kepada ahli mayat yang sedang ditimpa kesusahan. Dasarnya adalah perkataan Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam kepada para shahabatnya ketika Ja’far bin Abi Thalib radliyallaahu ‘anhu gugur di medan jihad :

اصنعوا لآل جعفر طعاما فإنه قد أتاهم أمر شغلهم

“Buatlah makanan untuk keluarga Ja’far. Sesungguhnya mereka tengah ditimpa musibah yang menyibukkan mereka” (HR. Abu Dawud nombor 3132, At-Tirmidzi nombor 998, Ibnu Majah nombor 1610, dan lain-lain; shahih lighairihi).

Inilah yang diamalkan oleh orang-orang shalih dari kaum salaf sebagaimana yang dikatakan Imam Asy-Syafi’i dalam Al-Umm (1/278) : “Tetangga mayat atau kaum kerabatnya wajib membuatkan makanan yang mengeyangkan untuk keluarga mayat pada hari si mayat wafat dan pada malamnya. Hal itu merupakan sunnah dan perbuatan yang mulia. Dan merupakan perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang shalih sebelum dan sesudah kami”. [selesai]

Kesimpulan : Berkumpul dan makan makanan di keluarga mayit adalah perbuatan yang tidak disyari’atkan. Dan bagi keluarga mayat, maka ia tidak perlu menyediakan makanan atau minuman yang sengaja diperuntukkan kepada para tamu yang sedang ta’ziyah atau membantu pengurusan jenazah. Jika dia melakukannya, maka ia sama saja mendorong orang untuk melakukan perbuatan yang dilarang. Allah ta’ala berfirman :

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرّ وَالتّقْوَىَ وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

 

“Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa dan jangan kamu tolong-menolong dalam dosa dan maksiat” (QS. Al-Maidah : 2). Allaahu a’lam.

Sumber: Mohd Masri



Wanita yang sedang mengandungkan anak luar nikahnya, boleh diijab Qabulkan. Pernikahannya SAH sekiranya semua syarat-syarat nikah yang telah ditetapkan mengikut Hukum Syarak dipenuhi. Anak yang sedang dikandung 8 bulan, tetap menjadi anak luar nikah ( ANAK TAK SAH TARAF) walaupun selepas kelahirannya saudari telah menjadi pasangan suami isteri yang sah.

Tambahan maklumat: Namun Wanita yang mengandung dan kemudian diceraikan oleh suaminya, HARAM hukumnya bernikah dengan mana-mana lelaki lain kerana masih dalam eddah perceraian dengan suaminya. Eddahnya akan tamat selepas ia melahirkan anaknya. Anak tersebut adalah ANAK YANG SAH TARAF dan boleh dinasabkan( di bin @ di bintikan) keturunan dengan bekas suaminya.

Sumber: JAIS



Dalam masalah ini, penduduk Islam yang berada di negara yang tidak mendapat cahaya matahari selama beberapa bulan kerana kedudukan negara tersebut yang berhampiran dengan kutub utara atau kutub selatan, waktu solatnya adalah berasaskan kepada waktu di negara yang berhampiran dengannya (yang masih ada matahari). Ringkasnya, waktu solat dan puasanya adalah mengikut waktu solat dan puasa di negara tersebut. Wallahu ‘alam.




    1. Hukum terhadap insurans
      konvensional adalah jelas keharamannya mengikut kesepakatan para ulama’ kerana
      ia mempunyai elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar dan maisir.
       
    2. Keharaman muamalah riba
      tidak terhenti setakat amalan itu sahaja, bahkan Allah SWT telah
      mengisytiharkan perang kepada pemakan-pemakan harta riba. Prof. Dr. Yusuf
      al-Qaradhawi telah mengemukakan pandangan bahawa bekerja di bank adalah
      dibenarkan selagi mana tidak berinteraksi secara terus dengan kontrak riba.
       
    3. Para sarjana Islam
      semasa bersepakat mengatakan bahawa sebarang pekerjaan yang berurusan secara
      terus (direct) dengan kontrak riba adalah haram kerana termasuk dalam larangan
      Nabi SAW yang membawa kepada laknat. Ijtihad para sarjana Islam dalam
      menghukumkan keharaman pekerjaan yang bersangkutan dengan amalan riba contohnya
      di sektor ribawi adalah bertepatan dengan kaedah kulliyyah yang menyebut :


      ما حرم أخذه حرم إعطأوه


      Maksud: Sesuatu yang haram menerimanya juga diharamkan
      memberinya.
       

    4. Dalam erti kata lain,
      kaedah ini membawa maksud apa sahaja perkara haram diambil atau mengambilnya,
      haram juga hukumnya memberikan kepada orang lain. Illahnya ialah ia akan
      membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan.
       
    5. Dalam kes mempromosi
      produk-produk insurans konvensional, para ejen sememangnya bertugas untuk
      memasarkan produk-produk konvensional yang telah diputuskan haram secara
      sepakat. Maka dengan sebab itu, hadith Nabi SAW yang jelas melarang umat Islam
      daripada terlibat dengan urusan dan perniagaan ribawi iaitu yang bermaksud:
      ”Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi wakilnya, pencatatnya dan dua
      saksinya. Nabi SAW bersabda: Semuanya sama-sama dilaknat” adalah terpakai dalam
      konteks ini. Walau bagaimanapun, bagi pekerja-pekerja yang tidak berurusan
      secara langsung dengan kontrak dan perniagaan riba, mengikut pandangan
      beberapa ulama’ seperti yang disebut di atas, pekerja-pekerja tersebut
      tidaklah dihukum mengikut hadith Nabi ini.
       


    1. Terdapat juga pandangan
      yang mengatakan selagi mana seseorang Muslim itu bekerja di bawah “bumbung”
      institusi yang mengamalkan sistem riba, pekerjaan mereka adalah ditegah kerana
      menyokong sistem yang dicela oleh Allah itu.
       


    1. Sistem insurans
      berlandaskan syariah sedang pesat berkembang pada masa ini dan umat Islam yang
      bekerja dalam sektor insurans konvensional berlandaskan sistem yang ditegah
      oleh Islam wajar memilih sistem yang berlandaskan syariah.
       
    2. Islam mengharamkan
      umatnya dari melibatkan diri dalam apa jua muamalah yang melibatkan riba kerana
      riba akan membawa kemusnahan kepada hidup manusia. Oleh itu tindakan
      mempromosikan atau mengajak orang lain menerima sesuatu yang berteraskan riba
      adalah jelas dilarang oleh Islam.
       


  1. Mereka yang bekerja
    dalam mempromosikan skim insurans konvensional berlandaskan riba perlulah
    berusaha dan bertekad bersungguh-sungguh untuk meninggalkannya dan dalam proses
    peralihan tersebut pendapatan yang diterima adalah halal dan dimaafkan oleh
    Islam.



wa’alaikumussalam

Apa yang rakan anda buat adalah lafa ta’liq cerai..ini bermakna apabila ia menybeut demikian, si isteri tidak dibenarkan sekali-kali untuk melanggarnya atau talaq akan jatuh secara pasti.

 

Adapun dalam konteks setelah berbincang semula dengan suami, dan suami benarkan pulak Majoriti ( Jumhur) para ulama Islam silam ( termasuk ulama dari 4 mazhab) dan kini menyebut bahawa lafaz ta’liq tidak boleh di batalkan lagi apabila telah diucapkan, niat si suami juga tidak perlukan untuk dipastikan dalam konteks lafaz yang sebegini terang dan jelas ( kecuali beberapa pandangan seperti Syeikhul Islam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim yang menyebut kecuali jika lafaz ta’liq tadi diniatkan oleh suami sebagai lafaz sumpah untuk menunjukkan tegahan yang amat amat serius dan bukan untuk menceraikan jika ia melanggarnya. Bagaimanapun pengecualian ini sukar untuk dibayangkan berlaku di suasana malaysia kerana ia adalah suasana orang Arab sahaja yang sememangnya kerap bermain dengan sumpah seperti ini)

 

Kecuali terdapat satu pandangan dalam mazhab Hanbali yang MENGHARUSKAN pembatalan talaq ta’liq sebagaimana di sebuat dalam kitab al-Furu’ oleh Ibn Mufleh.

Hasilnya, menurut 4 mazhab ; apabila si isteri keluar bekerja selepas itu walaupun dengan izin suami, talaq 1 tetap akan jatuh.

Wallahu a’lam dalam hal di Malaysia, Mahkamah Syariah di Malaysia juga mengambil pandangan majoriti Mazhab. Iaitu talaq Ta’liq TIDAK BOLEH DI TARIK BALIK.

sekian

 

 

Oleh : ust Zaharuddin Abd Rahman



Sudah maklum bahawa subang adalah perhiasan bagi wanita. Namun akhir-akhir ini terdapat lelaki-lelaki Islam yang terpengaruh dengan budaya barat mula memakai subang. Dengan kreativiti yang ada maka dicipta subang untuk lelaki supaya berbeza dengan yang dipakai oleh wanita. Mengikut hukum uruf, seseorang lelaki yang memakai subang dikira menyerupai wanita walaupun subang tersebut direka khas untuk lelaki kerana dia memakai perhiasan yang secara khususnya adalah untuk wanita. Ketahuilah bahawa haram bagi lelaki menyerupai wanita. Larangan ini telah disebut dalam hadis seperti berikut:

عن إبن عباس رضي الله عنهما قال: لعن رسول الله صلي الله عليه وسلم المخنثين من الرجال
والمترجلات من النساء ؛ وفي رواية: لعن رسول الله صلي الله عليه وسلم المتشبهين من الرجال
(بالنساء والمتشبهات بالنساء من الرجال (رواه البخاري

Maksudnya:
Dari Ibnu Abbas r.a., dia berkata: Rasulullah saw telah melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan menyerupai lelaki. Dan dalam riwayat lain, Rasulullah telah melaknati orang-orang yang menyerupai perempuan dari kaum lelaki dan orang-orang yang menyerupai lelaki dari kaum perempuan. (riwayat Bukhori).

Oleh itu adalah haram bagi lelaki memakai subang kerana ia dikira menyerupai wanita. Adapun bentuk-bentuk tertentu subang yang dipakai oleh lelaki tidak dapat mengecualikannya daripada dikira menyerupai wanita.

Sekian والله أعلم بالصواب

 

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS