Soal Jawab


1. Aurat seorang kakak ketika bersama adik lelakinya adalah seperti berikut:

Wajib bagi seorang kakak ketika berada di hadapan adik lelakinya untuk menutup badannya melainkan muka, kepala, tengkuk, dua tangan hingga ke tapak tangan, kaki hingga ke lutut.

 

Ini bermakna, dada, payudara, belakang, pinggul, paha dan faraj adalah wajib ditutup.

Manakala bagi adik lelaki tersebut pula, auratnya ketika berada di hadapan kakaknya ialah anggota yang berada antara bahagian atas pusat dan bawah lutut.

Dari itu, bahagian yang berada di bawah pusat adik lelakinya adalah aurat dan haram bagi kakaknya untuk melihatnya.

 

2. Aurat anak perempuan dengan bapanya:

Tidak ada batasan aurat di antara seorang anak perempuan dengan bapa kandungnya. Perkara ini dapat dilihat pada firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah An-Nur di bawah ini, maksudnya:

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak mereka, anak-anak tiri mereka, saudara-saudara mereka, anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan….”.

(surah an-Nur 31)

 

Melalui ayat ini kita dapat fahami bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala melarang kaum wanita daripada memperlihatkan perhiasan yang tersembunyi pada tubuh mereka melainkan kepada suami, bapa kandung, bapa mertua dan senarai berikutnya seperti mana yang terdapat di dalam maksud ayat di atas. Wallahu ‘alam.

Sumber : http://tanya-ustaz.com

Penggunaan nada dering bacaan al-Quran mula-mula sekali telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Ulama’ Saudi pada 17 Nov 2007 didalam mesyuarat yang dihadiri oleh 70 orang perwakilan fiqh dunia dan majlis tersebut telah dipengerusikan oleh Mufti Besar Arab Saudi Shiekh Abdul Aziz Ali al-Syeikh. Menurut ulama yang menghadiri mesyuarat tersebut :

“Ia memalukan dan menjatuhkan kedudukan ayat-ayat al-Quran apabila ayat al-Quran yang didengarkan itu secara tiba-tiba ia terhenti, atau yang mendengar mengabaikan bacaan tersebut. Sebaliknya, jika ayat-ayat al-Quran disimpan didalam talipon bertujuan untuk didengari merupakan satu amalan yang mulia (dan bukan untuk nada dering)”.

Pada hari Khamis 12 November 2009 pula, Akademi Penyelidikan Islam, yang diketuai oleh Shiekh Dr Mohamed Sayed Tantawi rh. mengharamkan penggunaan al-Quran sebagai nada dering dengan kata beliau :

إساءة للقرآن، بما لا يتفق مع جلاله وقدسيته
“Ia merupakan penyalah gunaan al-Quran, tidak bertepatan dengan keAgungan dan kemuliaanya”.

Menurut Setiausaha Akademi tersebut, al-Azhar telah mengikuti keputusan yang difailkan oleh ahlinya Sheikh Mustafa Shaka yang menyeru pihak al-Azhar mengharamkan penggunaan al-Quran sebagai nada dering. Keputusan dibuat atas dasar “ayat2 yang digunakan tidak sesuai dengan keAgungan al-Quran. Ayat-ayat yang dibacakan pun tidak habis / putus.” Al-Azhar juga telah mengarahkan pihak Telco di Mesir mengharamkan penggunaan al-Quran sebagai nada dering.

Sheikh Dr Mahmoud Ashour berkata “ayat-ayat al-Quran tidak diturunkan dari syurga untuk digunakan sebagai ringtone atau sebagai sesuatu yang tidak ada nilai dari aspek keAgungan dan status al-Quran itu sendiri”. Menurut beliau lagi, yang merupakan ahli Jawatan kuasa Akademi tersebut “orang tidak akan menumpukan perhatian kepada bacaan al-Quran apabila ia berbunyi, kerana nada dering itu dijadikan sebagai bahan alert apabila terjadinya perhubungan (connection), dan tidak sesuai langsung al-Quran menganti tempat nada dering atau deringan musik”.

Darul Ulum Deoband India juga telah mengharamkan al-Quran sebagai nada dering Jurucakapnya Mohammed Asumin Qazmi mengatakan bahawa ayat-ayat al-Quran bukanlah bertujuan menghibur. “Seseorang yang mendengar al-Quran hendaklah dia mendengar sehingga habis dengan tawadhu’ dan tadabbur. Jika ia digunakan sebagai nada dering, tiba-tiba ditutup semasa bacaan, maka sangatlah tidak Islamik perbuatan tersebut”.

Kesimpulan dari sebab-sebab pengharaman al-Quran sebagai nada dering adalah :-

a. Kedudukan ayat-ayat al-Quran yang Agung dan Mulia tidak sesuai dijadikan sebagai nada dering.
b. Nada dering bacaan al-Quran itu biasanya tidak dihirau bacaannya, sedangkan menurut syara’, apabila ayat-ayat al-Quran dibacakan, hendaklah yang nmendengar itu diam dan mendengarnya.
c. Bacaan al-Quran pada nada dering biasanya bacaan tersebut terhenti atau terputus apabila talipon tersebut “berhubung”. Ayat al-Quran hendaklah dibaca secara penuh.
d. Adakalanya, nada dering bacaan dibunyikan pada tempat-tempat yang kotor seperti tandas!! Haram bacaan al-Quran didalam tandas.

Pengharaman nada dering bacaan al-Quran termasuklah laungan Azan. WA.

Sekian, wassalam.

 

Sumber: http://www.al-ahkam.net/



INAI BERUKIR DI TANGAN DILAKNAT ALLAH

Sekarang ini ramai orang perempuan (pengantin) memakai inai dengan mengukir ala tatu di tangan.

Mari kita sama-sama merenung hadis Nabi ini:

Dari Ibnu Umar ra katanya:

“Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan.Dan (Rasulullah s.a.w) mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu”.(Hadis bil. 2003 : Sahih Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda :

“Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain,wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)”.(Hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari)

Jelas Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz :

“Inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu dalam kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul hujung jari”

Marilah kita membuat pengislahan dalam diri kita agar kita tidak tergolong dalam hamba-hamba Allah yang melanggar syariatNya.

wallahu’alam.

* Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz bekas Pegawai Agama Islam di Istana Negara, Kuala Lumpur .

 

Sumber: http://www.ustazahazimah.amirhakimi.com



Para ulama telah berselisih pendapat dalam menentukan hukum sebenar bagi teknik rebonding ini sama ada untuk meluruskan rambut atau mengkerintingkannya. Ini kerana tidak terdapat dalil yang khusus melarang atau mengharuskan perkara ini secara jelas. Dalil-dalil yang digunakan oleh kedua-dua pihak lebih bersifat umum sahaja. Disebabkan itulah berlaku perselisihan di kalangan ulama kepada dua pandangan iaitu mengharamkan dan mengharuskan.

Namun secara peribadinya saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa harus pada sesetengah keadaan bagi seseorang perempuan itu membuat teknik rebonding di atas sebab-sebab tertentu. Lebih-lebih lagi jika isteri membuat teknik ini semata-mata untuk memperagakan di hadapan suaminya sahaja. Begitulah kesimpulan daripada pandangan Imam Nawawi di dalam kitabnya Raudah al-Tolibin dan pendapat Imam Ramli di dalam kitabnya Nihayah al-Mujtahid.

Selain itu, perkara yang perlu diteliti juga berkaitan dengan teknik rebonding ini ialah:

1. Apakah niat dan tujuan rebonding?
2. Bahan apakah yang digunakan untuk rebonding?
3. Siapakah yang melakukan rebonding?
4. Untuk siapakah rebonding itu diperagakan?
5. Apakah kesan rebonding?

Sekadar peringatan: Syukurilah nikmat Allah SWT yang sedia ada. Allah Taala tidak akan menzalimi hambaNya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Sesiapa yang memiliki rambut hendaklah dia muliakannya. (Riwayat Abu Daud)

Wallahualam.

 

Sumber: http://www.iluvislam.com/



Salah satu bahagian yang menjadi tumpuan pengubahsuaian bagi kaum hawa ini ialah kening, dari zaman nabi lagi telah ada persoalan ini, sehingga ada hadis-hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan hukumnya.

Tidak dinafikan bahawa ada di kalangan kaum wanita yang keningnya bermasalah dari segi lebat atau nipisnya atau bulu kening bersambung antara kening kanan dan kiri.

Menurut pandangan syara’ adalah haram kepada seseorang perempuan mencukur bulu keningnya kerana itu bererti merubah ciptaan Allah dan merubah ciptaan Allah ini adalah dilarang keras di dalam Al-Quran. Perbuatan ini juga menyerupai masyarakat yang bukan Islam, sedangkan Islam sudahpun mempunyai identiti tersendiri dalam soal perhiasan.

Di dalam sebuah hadis yang sahih melarang keras seseorang perempuan itu menyambung rambutnya dan meminta orang lain menyambung rambutnya dan lain-lain, apalagi perbuatan mencukur bulu kening. Kecuali jika bulu-bulu tersebut tumbuh di tempat-tempat yang tidak sepatutnya tumbuh pada diri perempuan, dikala itu wajiblah menghilangkannya, seperti tumbuh bulu di pipi, tumbuh misai dan janggut seperti lelaki, kesemua bulu-bulu ini hendaklah dibuang kerana ia memburukkan paras rupa seseorang perempuan.

Perkara ini membabitkan satu riwayat berkaitan dengan riwayat Imam Al-Tabari, bahawa isteri Abu Ishaq pergi ke rumah Aisyah Ummul-Mukminin, isteri Rasulullah saw. Pada waktu itu rupa parasnya sangat jelita. Beliau lalu bertanya kepada Aisyah mengenai hukum seorang wanita yang membuang bulu-bulu yang terdapat di dahinya untuk tujuan menambat hati suaminya.Aisyah menjawab:

“Hapuskanlah kejelekan yang ada pada dirimu sedaya yang kamu mampu.”

Hadis kedua diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud yang menerangkan bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik.

Perbuatan-perbuatan yang disebut diatas termasuk mengubah ciptaan Allah.

Mengenai hadis pertama, Imam Nawawi berpendapat bahawa jawapan Aisyah kepada wanita itu membawa erti bahawa wanita boleh bersolek untuk suami, boleh merawat muka untuk menghilangkan kejelekan seperti jerawat, jeragat dan bintik-bintik. Namun demikian, beliau tidak boleh mencabut atau mencukur bulu-bulu di muka (kecuali untuk menghilangkan kejelekan yang luarbiasa), termasuk yang diharamkan ialah menghilangkan bulu kening untuk membentuk alis mata yang cantik.

Aisyah r.a menjawab: “Hapuskanlah kejelekan yang ada pada dirimu sedaya yang kamu mampu”. Imam Nawawi berpendapat sesungguhnya jawapan Aisyah kepada wanita itu membawa maksud wanita boleh bersolek untuk suami, boleh merawat muka untuk menghilangkan kejelekan seperti jerawat, jeragat dan bintik-bintik.

Jelas di sini adanya keharusan untuk mengelokkan wajah dengan membersihkan wajah daripada bulu-bulu yang tumbuh di kawasan kelopak mata atau di kawasan yang tidak sewajarnya.
Ini kerana wanita yang normal pastinya kening berbulu tetapi sudah tidak normal kalau dahinya atau kelopak matanya yang berbulu.

Pendapat ini perlu kepada perincian kerana lafaz dalam pandangan ini ialah mencabut bulu. Mengikut biologi kejadian manusia satu-satu kawasan yang ditumbuhi bulu di wajah wanita ialah kening. Jadi lafaz mencabut bulu di wajah maksudnya kening, ini kerana kening adalah sebahagian daripada wajah.

Kalau difahami secara zahir pastinya apa-apa sahaja yang tumbuh di wajah wanita tidak boleh dicabut, termasuklah kalau ada bulu yang tumbuh di pipi, di dagu, atau tumbuh misai kerana semua ini tumbuh di wajah.

Para ulama’ berpendapat harus mencukur bulu-bulu tersebut supaya tidak kelihatan buruk,tapi bukan mencukur bulu kening melainkan bulu kening itu tumbuh hingga ke kelopak mata atau bersambung antara dua kening.

Lebih diharamkan lagi, jika mencukur alis itu dikerjakan sebagai simbol bagi perempuan-perempuan cabul.

Sementara ulama madzhab Hanbali berpendapat, bahwa perempuan diperkenankan mencukur rambut dahinya, mengukir, memberikan cat merah (make up) dan meruncingkan ujung matanya, apabila dengan seizin suami, karena hal tersebut termasuk berhias.

Harus diperhatikan di sini ayat yang ‘diboldkan’itu, dengan izin suami dan sudah tentu di dalam rumahnya,jika diluar rumah sudah tentu tidak dibenarkan syara’.
Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin:

Menghilangkan bulu alis (termasuk menggunakan rambut palsu dan tatoo) termasuk salah satu dosa besar, kerana Rasulullah SAW bersabda,

“Allah melaknat wanita yang memasang dan dipasang rambut palsu, wanita yang mencukur bulu alis dan dicukurkan bulu alis dan wanita yang membuat tatoo dan dibuatkan tatoo” (HR. Bukhari no. 5937 dan Muslim no. 2124)

Oleh kerana itu hendaklah setiap orang lelaki (hadits tersebut juga berlaku untuk lelaki) mahupun wanita berusaha menjauhi perbuatan tersebut.

Kesimpulannya, berhias untuk suami adalah diharuskan tetapi membentuk bulu kening dengan mencabut atau mencukurnya sehingga menjadi alis yang cantik adalah tidak dibenarkan. Menghilangkan sebarang tanda yang menjelekkan pandangan di badan, termasuk muka seperti jerawat, jeragat dan bintik hitam, adalah dibenarkan sama ada wanita bersuami atau tidak.

Dalam keghairahan wanita mencantikkan wajah untuk menambat hati suami atau sebagainya, jangan sampai terkeluar daripada sempadan yang digariskan oleh syarak kerana kecantikan bercanggah dengan syarak akan mengundang laknat Allah.

Sebagai wanita muslimah yang menjunjung syariah suci sebagai panduan hidup, maka tidak sewajarnya kita terikut-ikut dengan cara wanita bukan Islam atau wanita fasiq menghias diri. Kerana kecantikan zahir yang kita dambakan itu sebenarnya tiada nilai disisi Allah SWT. Wajah kita hanyalah tempat jatuhnya pandangan manusia sedangkan Allah tidak memandang jasad yang cantik,bahkan tempat jatuhnya pandanganNya adalah hati kita. Maka perindahkan hati dan besihkan jiwa kita sebelum kita mencantikkan luaran kita. Sementara untuk mencantikkan rupaparas, hendaklah kita mengambil kira pandangan Allah dan RasulNya, jangan sesekali kita membelakangkan Tuhan dalam urusan hidup kita.
Wallahu A’lam.

 

Sumber: http://johor.ikram.org.my/



Waalaikumussalam w.b.t

Pemakaian bulu mata palsu adalah haram selaras dengan Hadis Nabi mengenai pengharaman pemakain rambut palsu:

“Allah melaknat wanita yang menyambung rambutnya dan meminta rambutnya disambung.” (Shahih al-Bukhari, no: 5934)

Apa-apa perbuatan tabarruj yakni berhias diri dengan melampau maka ia diharamkan dalam Islam.

Pemakaian maskara adalah harus selagi mana ia tidak merubah wajah yang sebenar dan bahan yang digunakan tidak mengandungi unsur syubhah dan tidak kalis air. Ini dibimbangi ketika mengambil wudhuk air itu tidak rata ke anggota wudhuk.

Sebagai peringatan Panel menasihatkan gunakanlah maskara yang tidak menonjol ketebalan bulu mata tersebut sehingga menarik perhatian kaum lelaki. Sesungguhnya tabarruj atau pemakai perhiasan yang berlebihan itu adalah amalan zaman jahiliyyah.

Wallahua’lam

 

Sumber: http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/



Waalaikumussalam. Boleh memakai kanta tersebut dengan tujuan untuk perubatan atas nasihat pakar perubatan untuk memulihkan penglihatan dan bukan tujuan perhiasan atau penipuan.

 

 

1. Tujuan perubatan – iaitu orang yang memakainya kerana masalah mata yang dihadapinya, iaitu ia memakainya sebagai ganti cermin mata. Hukumnya adalah harus dengan syarat tidak mendatang mudarat kepada mata.

2. Tujuan perhiasan – iaitu memakainya sekadar suka-suka, bukan kerana keperluan (yakni bukan kerana masalah mata). Ia masuk dalam hukum perhiasan. Perhiasan diharuskan selagi tidak melanggar batasan Syara, iaitu;
a) Tidak mendedahkan aurat dan berlaku tabarruj
b) Tidak mendatangkan fitnah iaitu menimbulkan ghairah orang lain –terutamanya wanita- (yakni tidak harus wanita memakai    perhiasan yang boleh mendatangkan ghairah atau mencuri perhatian lelaki kepadanya).
c) Tidak mengubah ciptaan Allah.
d) Tidak berupa penipuan atau pemalsuan.
e) Tidak menyerupai perbuatan orang kafir
f) Tidak berlebihan.
g) Tidak memudaratkan

Merujuk kepada syarat-syarat di atas, sebahagian ulamak telah memfatwakan haram memakai contact lens yang berwarna (yakni mengubah warna mata yang asal) kerana ia mengubah ciptaan Allah, berupa penipuan/pemalsuan dan meniru perbuatan orang kafir di samping ia memudaratkan sebagaimana disahkan oleh para doctor sendiri. Di tambah lagi bagi perempuan, ia boleh menimbulkan fitnah (iaitu mencuri perhatian lelaki kepadanya)

 

Sumber: http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/




Hukum membuat ‘kenduri’ bagi anak yang baru lahir hukumnya harus dan hukum ibadah aqiqah itu adalah Sunat Muakkad, caranya ialah :

Membuat Aqiqah dengan menyembelih seekor kambing bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan. Jika mampu yang afdalnya bagi kanak-kanak lelaki dua ekor kambing dan sebaiknya disedekahkan daging kambing itu kepada fakir miskin dan lain-lain sesudah dimasak.

1. Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.

2. Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.

3. Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya sendiri. Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengaqiqahkan dirinya sendiri sesudah Baginda s.a.w. diangkat menjadi Rasul.

4. Anak zina, aqiqahnya sunnat atas ibunya kerana nafkah hidup anak zina itu tanggungan ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Syaikh Ibnu Hajar dan Syaikh Ramli, manakala Khatib Syarbini pula berpendapat, adalah tidak sunnat bagi ibu mengaqiqahkan anak zinanya meskipun si ibu memberi nafkah kepadanya.

5. Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing.

Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi)

Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan: Bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)

 

Sumber: http://www.jais.gov.my/



Saya sering ditanyakan masalah ini,terutamanya melibatkan mahasiswa dan pelajar yang tinggal sebilik dengan wanita bukan Islam. Kerana ini sedikit sebanyak akan mendatangkan kesukaran pergerakan seharian mereka.

Menutup aurat bagi wanita muslimah merupakan sesuatu yang diwajibkan oleh syarak. Ianya merupakan suatu ketetapan yang pasti berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunnah. Seorang wanita muslimah itu dibenarkan menampakkan aurat mereka hanya kepada golongan-golongan tertentu seperti yang dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran Surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud :

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau …………” .hingga akhir ayat.

Berdasarkan ayat di atas, terdapat khilaf para ulama dalam hal ini. Allah tidak menyebut lafaz “an-nisaa” bermaksud wanita-wanita. Tetapi Ia menyebut “nisaaihinna” bermaksud wanita-wanita mereka. Lafaz “nisaaihinna” bermakna Allah menghadkan kebebasan perempuan Islam dalam ruang lingkup tertentu. Apakah ruang lingkup tersebut? Di sinilah terdapat perselisihan pendapat di antara para ulama’.

Ada yang mengatakan bahawa boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat hanya kepada wanita Muslimah sahaja. Pendapat ini menurut mazhab Syafie yang menyatakan auratnya sama sahaja dengan lelaki bukan mahram. Begitu juga keterangan yang dilihat seperti mana yang dihuraikan oleh Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azhim katanya :

“Firman Allah SWT ‘nisaa`ihinna’, maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah yang lain. Namun ia tidak dibenarkan kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah). Ini bertujuan agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari pada semua wanita, akan tetapi ianya lebih ditekankan lagi kepada wanita ahlu zimmah. [Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48]

Imam Ibn Kathir menganggap wanita bukan muslim ahlu zimmah tidak memahami larangan Rasulullah SAW berkenaan menceritakan aurat wanita lain kepada suami mereka. Ini kerana wanita bukan Islam tidak boleh dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah). Ditakuti aib dan aurat wanita muslim dihebah-hebahkan.

Disebabkan alasan tersebut, beliau mendatangkan pendapat yang melarang secara terus dari menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam.

Begitu juga pandangan Syeikh ‘Atiyyah Saqqar yang menguatkan dalil dengan kata-kata Ibn Abbas yg mengharamkan aurat perempuan Islam dilihat oleh perempuan Yahudi atau Kristian kerana takut perempuan kafir akan menceritakan atau mendedahkan kepada lelaki lain atau suami mereka tentang apa yang mereka lihat. Pendapat ini juga dipegang oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsir beliau dengan berdalilkan al-Athar (kata-kata sahabat) daripada Umar RA yang bermaksud:

Dan Umar RA menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah: “Bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahli zimmah memasuki tempat mandian wanita islam. Maka tegahlah daripada demikian itu dan halalkan selain mereka (perempuan ahli zimmah).” Dan pendapat ini merupakan pendapat Jumhur Ulama.

Jika dilihat kepada alasan beberapa pandangan Ulama ini, mereka mendatangkan hukum ini adalah berdasarkan adanya alasan tertentu. ‘Illah (alasan) tersebut ialah ‘agar aurat wanita muslimah tidak diceritakan kepada suami mereka’. Menurut kaedah fiqh, Ianya dikategorikan sebagai ‘illah ba’ithah. Iaitu hukum tersebut dibina berdasarkan kepada kewujudan dan ketiadaan illah. Apabila illah/alasan tersebut hilang maka gugurlah hukum asal tersebut. Namun apabila illah/alasan itu kembali, maka hukum asal digunapakai semula.

Di dalam isu ini, sekiranya wanita bukan Islam diyakini tidak akan menceritakan aurat wanita Muslimah kepada lelaki lain, maka harus bagi wanita Muslimah menampakkan aurat kepada mereka.

Ini bersesuaian dengan pandangan sebahagian ulama. Mereka tidak memandang bahawa menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam akan membuatkan wanita bukan Islam tersebut secara pasti akan menceritakannya kepada suami mereka. Lalu mereka mengharuskan wanita Muslimah membuka aurat dihadapan wanita bukan Islam diatas keperluan dan syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syaratnya ialah dipastikan wanita bukan Islam (khusus kepada ahlu zimmah) tersebut dapat dipercayai ia tidak menceritakan perihal aurat wanita muslimah kepada lelaki lain. Lalu mereka membahagikan wanita bukan Islam itu samada ianya boleh dipercayai, ataupun tidak boleh dipercayai.

Ini seperti mana yang dinyatakan oleh pandangan yang agak berlainan dari pandangan jumhur seperti Ibn al-Arabi al-Maliki didalam kitab beliau Ahkamul Qur’an, Jld 3, hal. 326, yang mengatakan boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat kepada semua wanita yang baik akhlaknya dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubunan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Fakhrurrazzi dan mufassir kontemporari dari Saudi iaitu Syeikh Ali Al-Shabuni.

Apa yang ingin dijelaskan oleh mereka disini adalah, aurat atau tidak bukanlah dinilai pada perbezaan agama, tetapi dinilai pada perbezaan akhlak dan budi pekerti. Maka harus bagi perempuan Islam mendedahkan aurat di hadapan perempuan lain yang elok budi pekerti dan akhlaknya walaupun bukan Islam. Dan pandangan ini dipersetujui oleh Fatwa Negeri Kedah dengan merujuk kepada kitab Hasyiyah Qalyubi juz. 3, hal. 211 mendatangkan alasan berbezanya keadaan zaman kini jika dilihat pergaulan wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi, di asrama, di tempat bekerja dan lain-lain.

Jika perihal menceritakan aurat terbatas hanya kepada agama, bagaimana dengan perempuan Islam yang rosak akhlak dan tidak bermoral seperti golongan lesbian? Maka sudah semestinya wajib menutup aurat di hadapan mereka kerana bergaul dengan mereka mendedahkan kepada bahaya dan mudarat sebagaimana bergaul dengan lelaki bukan muhrim.

Disebabkan itulah Islam melarang seseorang wanita muslimah itu menceritakan kepada rakan-rakan yang bukan mahramnya perihal aurat mereka. Seperti menceritakan rupa bentuk tubuh badannya, kedudukan rambut, mahupun warna kulit anggota-anggota tertentu yang terselindung disebalik batasan-batasan aurat yang digariskan oleh Islam.

Kesimpulannya di sini, mana-mana wanita Muslimah dilarang mendedahkan atau menceritakan aurat mereka kepada yang bukan mahram dan wanita bukan Islam tanpa keperluan tertentu yang mendesak. Mereka dibolehkan membuka aurat mereka kepada wanita bukan Islam hanya sekiranya terdapat keperluan dan meyakini wanita bukan Islam tersebut mampu merahsiakan aurat wanita Muslimah dari dihebahkan kepada lelaki lain. Namun harus diingat bahawa anggota zahir sahaja yg boleh dibuka spt lengan,kaki, rambut,leher dsb. Tetapi tidak boleh membuka yang sulit-sulit kpd mereka. Ini adalah juga untuk menjaga maruah diri wanita muslimah.

Islam tidak menyusahkan wanita. Tetapi ia memuliakan dan memelihara maruah wanita.

WALLAHU ‘A’LAM

Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad.



Jawapan: Perbuatan tersebut sekalipun belum berzina tetapi ia telah membabitkan pelbagai dosa dan kesalahan yang ditegah Syariat, iaitu:

  1. Ia menghampiri zina. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu menghampiri zina” (Surah al-Isra’, ayat 32). Berkata Imam Ibnu Kathir; “Dengan ayat ini Allah menegah hamba-hambaNya dari zina, dari menghampirinya dan dari terlibat dengan segala sebab dan pendorong kepada zina” (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir).
  2. Berdua-dua antara lelaki dan wanita bukan mahram. Sabda Nabi; “Tidak bersunyian (berdua-duaan) seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga antara mereka” (Sunan at-Tirmizi).
  3. Menyentuh bukan mahram. Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi, itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216). Jika menyentuh sudah begitu hebat ancamannya, bagaimana dengan saling bersentuhan dan bercumbuan.
  4. Membuka aurat kepada bukan mahram. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah mereka (perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak lelaki mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31). Di dalam hadis, Rasulullah bersabda kepada orang lelaki; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau hamba perempuan yang kamu miliki” (HR Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 264)
  5. Tidak menjaga pandangan mata. Firman Allah; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka…. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kemaluan mereka” (Surah an-Nur, ayat 30-31).
  6. Melepaskan nafsu seks mengikut jalan yang haram. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan di antara sifat orang beriman ialah; “Mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isteri mereka atau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela. Maka sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian itu, maka mereka adalah orang-orang yang melampaui batas” (Surah al-Mukminun, ayat 5-7). Perhatikan Allah menegaskan “sesiapa mengingini selain dari yang demikian itu” (yakni mencari jalan untuk melepaskan nafsu selain kepada isteri dan hamba sahaya) mereka adalah orang yang melampau batas. Dengan ayat ini Imam as-Syafiie menegaskan; Haram mengeluarkan mani dengan tangan (yakni melakukan onani) kerana ia termasuk melepaskan nafsu bukan kepada isteri atau hamba sahaya (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Jika melepaskan nafsu secara sendirian sudah dianggap haram, apatahlagi jika membabitkan pasangan yang bukan mahram, maka lebih-lebih lagilah haram.

Orang yang melakukan perbuatan sedemikian wajiblah ia segera bertaubat kepada Allah. Pintu taubat sentiasa dibuka oleh Allah dengan syarat ia benar-benar bertaubat nasuha iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun taubat berikut;

  • Meninggalkan maksiat tersebut sepenuhnya.
  • Menyesali ketelanjuran lalu dengan sesungguh hati.
  • Bertekad tidak akan mengulangi lagi.

Sebagai bukti kejujuran taubatnya, ia hendaklah mengubah hidupnya dari suasana maksiat kepada suasana taat (menjaga ibadah terutamanya solat, menjauhi pergaulan luar batasan antara lelaki dan wanita, bergaul dengan orang-orang soleh, mendampingi masjid dan majlis ilmu, menanamkan rasa takut kepada Allah dan balasan di akhirat). Hanya dengan berada dalam suasana ketaatan sahaja kita dapat memelihara diri dari terjerumus ke dalam maksiat. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Seseorang manusia itu berada di atas agama teman rapatnya. Maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman” (HR Imam at-Tirmizi dan Abu Daud dari Abu Hurairah. Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4516)

Wallahu a’lam.
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil