Waktu Solat - Putrajaya
Harga juadah kekal
Tarikh Terbit : 30 Jun 2014
 

 

Kuala Lumpur: Walaupun terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan baru-baru ini, rata-rata peniaga di bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, di sini, masih mengekalkan harga makanan seperti tahun sebelumnya.
 

Kebanyakan peniaga turut bimbang makanan dan minuman yang dijual tidak laku sekiranya menaikkan harga.
 

Tinjauan Harian Metro di sekitar bazar Ramadan Kampung Baru, semalam mendapati pelanggan lebih menumpukan perhatian terhadap gerai yang menjual lauk-pauk untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Selain lauk-pauk, kuih-muih beraneka jenis dan warna turut menjadi pilihan pengunjung selain ayam percik dan ikan bakar apabila pelanggan sanggup beratur panjang seawal jam 4.30 petang bagi mendapatkannya.
 

Peniaga ayam percik, Sufrihadi Mouzri, 26, berkata, sejak 14 tahun ibunya berniaga di bazar ini, mereka tidak pernah menaikkan harga makanan itu kerana mahu mengekalkan pelanggan setia.
 

Katanya, pelanggan akan membeli sekurang-kurangnya tiga bahagian ayam percik dari gerainya dengan setiap satunya dijual pada harga RM3.
 

“Selain lokasi yang mudah bagi pelanggan beratur, saya percaya bahawa ayam percik masih menjadi menu kegemaran umat Islam untuk berbuka puasa.
 

“Jika kami naikkan harga, pasti ada pelanggan yang merungut. Jadi biarlah kami jual pada harga yang mampu dibeli memandangkan bulan puasa pun sebulan,” katanya ketika ditemui, di sini.
 

Pekerja swasta, Suzila Ismail, 26, berkata dia mengakui faktor masa menyebabkannya memilih untuk membeli saja juadah yang dijual di bazar Ramadan kerana sibuk bekerja.
 

“Makanan di bazar kini tidak terlalu mahal berbanding di restoran atau memasak di rumah kerana saya hanya mahu membeli sejenis makanan untuk berbuka puasa.
 

“Jika ada masa terluang, mungkin juga saya akan beli barang keperluan untuk memasak dan berbuka puasa bersama ahli keluarga yang lain,” katanya.
 

Sumber: Harian Metro


 
 


Lagi Berita

« Sebelum | Berikut »
Rekod 6 - 10 dari 640



Pengiklanan

Dapatkan tawaran istimewa khas diskaun untuk ahli K-Masjid

All